Thursday, May 20, 2010

Takdir Ilahi

Salam kembali. Semalam aku tidak sempat menulis kerana diserang demam. Sebenarnya demam telah melandaku pada malam selasa lagi, iaitu selepas aku pulang dari pengajian. Puncanya yang dapat aku ambil iktibar (hakikatnya semua itu dari Allah) ialah kerana aku telah 'memaksa/menyiksa' badanku secara fizikal (mungkin mental juga). Petang Isnin lebih kurang jam 3.00 aku telah memotong rumput dihalaman rumahku kerana ianya sudah agak panjang dan merimaskan. Masa tu panas dan kira-kira jam 5.00 pula hujan turun rintik-rintik, namun aku masih teruskan juga tugasanku itu. Selepas itu, bila kehausan aku pula minum air batu. Memang la best tapi akibatnya.... Selesai potong rumput dan kemaskan apa yang patut, aku terus naik ke atas dan mandi/bersihkan badan kerana aku belum mengerjakan sembahyang asar lagi, walhal jam dah hampir pukul 7.00 malam. Inilah salah satu sebabnya yang mempercepatkan badanku demam. Yang harunya, ia berlaku semasa aku dalam kesibukan, sibuk dengan write-up ku untuk ICIKM 2010 (due pada 10/6/10), jumpa supervisor (2/6/10), ceramah Hari Seketari (24/5/10), anak-anak nak periksa (mulai 24/5 - 28/5), audit Koperasi (sebelum 23/5/10), AJK Biro Ekonomi Yayasan (26/5/10), Biro Penerbitan Yayasan.
Kalau difikirkan memang pening... tapi inilah yang dikatakan takdir Ilahi. AKu akan susun dan buat satu persatu dengan sebaik mungkin, InsyaAllah.

Apa yang dapat aku ambil iktibar dari semua ini ialah, kita mesti buat kerja jangan bertangguh.

Sunday, May 16, 2010

Majlis Hol Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani & Maulud di Masjid Negara

Salam kembali. Pada kali ni aku akan berkongsi sedikit pengalaman/cerita semasa menghadiri majlis di atas. Semenjak mengetahui/membaca poster tentang majlis berkenaan, aku memasang niat untuk menghadiri majlis yang besar dan barakah ini. Cerita/kisah yang berlaku pada diriku ini adalah sebagai ingatan & panduan untuk diriku semata-mata supaya tidak alpa dengan kebesaran Ilahi dan juga kemuliaan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. serta para-para walilullah dan ulama-ulama. Ringkasnya beginilah ceritaku.

Pada hari sabtu (15/5/10), selepas solat zohor aku bersiap-siap untuk pergi ke Masjid Negara. Dari awal aku merancang untuk pergi bersendirian dengan menaiki motor sahaja. Bukan aku tak suka berjemaah (pergi secara berkumpulan atau dengan keluarga) tapi untuk sesetengah majlis/program, aku rasa lebih selesa bersendirian. Contohnya dalam hal ini, aku berhasrat untuk pergi awal dan sembahyang asar berjemaah di sana. Aku boleh beriktikaf, tinjau-tinjau atau menghulurkan mana-mana bantuan yang diperlukan atau sekurang-kurangnya 'buat networking'. Aku juga tak perlu jadi 'penunggu setia' bagi rakan-rakan yang biasanya kurang menghormati masa. Sedang aku bersiap-siap, aku memang berhasrat untuk bawa beg sandang Tabung Haji (TH) sahaja kerana ianya sangat selesa, tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil serta dapat membawa sebotol air mineral (beg ini adalah pemberian TH semasa kami menunaikan haji dulu tahun 2001). Memang seudah lama aku mencari beg ini untuk dibawa kemana-mana; namun sudah puas aku selongkar bilik setor, almari, dan lain-lain tempat yang sewjaranya tapi tidak juga jumpa. Pada kali ini, aku bertawassul dan minta dengan Allah serta RasulNya supaya menemukan aku dengan beg kesayangan ini supaya aku dapat segera berangkat menerima jemputan Rasulullah SAW. Setelah aku hampir putus asa mencari dan baju pagodaku basah berpeluh, aku seolah-olah didorong untuk mencari/melihat ke dalam almari yang aku pernah menyelongkarnya sebelum ini tapi tidak juga jumpa-jumpa. Setelah memasang niat (berdoa) tersebut, aku sangat bersyukur kerana beg kesayangan itu ada di sana bersama-sama barangan yang lain, termasuk kopiah ala habaib yang aku beli semasa ziarah ke Pamijahan, Bandung dulu. ALhamdulillah. Beg serta kopiah itulah yang aku bawa dan pakai ke majlis tersebut.

Aku bertolak lebih kurang jam 4.05 petang yang mana besar kemungkinan aku tidak dapat sembahyang asar berjemaah di Masjid Negara. Ringkasnya, perjalananku ke sana tidak menghadapi masalah kerana kenderaan tidak begitu banyak tidak sebagaiman hari-hari minggu yang lain. Fikirku mungkin ramai orang yang pergi ke Putrajaya sempena sambutan Hari Belia atau mungkin juga ada yang ke Stadium Putra Bukit Jalil kerana perlawanan akhir Piala Thomas juga berlangsung hari ini. AKu memuji kebesaran Allah dan banyak-banyak berselawat kepada junjungan.

Aku tiba diperkarangan Majid Negara dan kenderaan sudah banyak tetapi jalan belum begitu sesak, lagipun ramai polis trafik yang sedang bertugas. Maklumlah, majlis ini juga akan dihadiri oleh Tang DiPertuan Agong Sultan Mizan. Jam menunjukkan waktu 4.45 dan kedengaran suara imam menunaikan Asar. Selesai memakir motorku dan basuh kaki, aku langsung masuk ke masjid. Alhamdulillah, aku dapat sembahyang asar berjemaah kerana ada ramai lagi jemputan yang baru sampai dan belum sembahyang asar. Majlis dimulakan jam 5.30 ptg. dengan ucapan/penyampaian ceramah dari ulama-ulama jemputan dari dalam dan luar negara serta diselangi dengan qasidah/selawat. Apa yang amat mengagumkan aku adalah tentang sahabat Ali Zainal Abidin yang ditugaskan membuat terjemahan dari bahasa Arab ke bahasa melayu. Beliau dapat mencatit dan menterjemahkan syarahan/tausiah dari perceramah-penceramah itu seolah-olah beliau yang memberi ceramah. Perlu diingat di sini bahawa percernah itu bercakap lebih kurang antara 10-15 minit baru berhenti dan Ustaz Ali Zainal Abidin menterjemahkannya selepas itu dengan tertib dan lancar.

Maslis hol dan maulud menerima kunjungan YDP Agong sebelum maghrib. Bagi aku, kemuncak majlis tersebut adalah apabila Al-Hahib Hassan bin Muhammad bin Salim Al-Attas, Pengerusi Masjid Ba'lawi dari Singapore, membaca Maulid Diba'ie. Ianya benar-benar menusuk kalbu dan jiwa; seolah-olah (seharusnya pun) Rasulullah SAW hadir bersama-sama ketika itu. Aku panjatkan syukur dan berdoa semoga aku dapat dipertemukan dengan baginda Rasullulah dengan kadar segera, samada dengan menziarahi maqam baginda atau 'cara-cara lain'. Amin.

(bersambung....)