Monday, July 12, 2010

Kepada yang Memerhati, Mengerti dan Mempelajari ....

Salam kembali,

Sudah agak 'lama' saya tidak menjengah blog saya ini. Bukannya apa, menulis dalam blog bukan lah satu keutamaan dalam senarai ' things to do' saya. Banyak perkara lain yang harus diutamakan (belajar (PhD & ilmu ugama), keluarga, masyarakat, dll)

Di sini saya ingin berkongsi pengalaman saya dalam pendidikan anak-anak. Mungkin bagi para ibubapa yang mempunyai anak, sudahpun melalui perkara seperti ini. Sebelum diteruskan pengalaman saya ini, teringat pula kata-kata/saranan dari Prof. Dr. Sidek Baba melalui siaran radio IKIM.fm baru-baru ini. Saya percaya, saranan beliau ini berdasarkan ilmu yang beliau ketahui/pelajari dari kitab-kitab atau buku-buku. Saya pernah mendengarnya tetapi lupa sumbernya dari mana. Yang sedikit berbeza atau belainan hujah/pendapat adalah dari segi umur anak-anak itu sendiri.

Beliau ada menyebut, pendidikan anak-anak terbahagi kepada beberapa tahap (setakat yang saya ingat); Pertama, dari umur 1 - 7 tahun; Kedua, dari umur 8 - 14 tahun; Ketiga, dari umur 15 - 21 tahun; Keempat, dari umur 22 - 28 tahun; Kelima, dari umur 29 - 35 tahun; Keenam, dari umur 36 - 42 tahun; Ketujuh, dari umur 43 - 49 tahun; Kelapan, dari umur 50 - 56 tahun; Kesembilan, dari umur 57 - 63 tahun; Kesepuluh, dari umur 64 - akhir hayat. Setiap tahap umur berkenaan hendaklah dikenalpasti kaedah-kaedah tertentu untuk mendidik anak. Misalnya pada tahap Pertama, ibubapa boleh mendidik anak-anak dengan bermain-main atau bergurau senda dengan mereka kerana mereka masih lagi 'baru' mengenal dunia ini. Anak-anak pada tahap ini perlu dan boleh didedahkan dengan sesuatu benda, perkara atau perbuatan tertentu yang berlaku atau dilakukan. Umpamanya, mengapa ibubapa sembahyang, mengapa perlu baca doa sebelum makan dsb. Pada tahap kedua, anak-anak perlu diajar dengan perlakuan-perlakuan tertentu; umpamanya diajar dan disuruh mereka sembahyang. Pada tahap ini meraka akan lakukan walau pun tanpa mengetahui tujuan sebenar sesuatu perkara (umpamnya sembahyang) dilakukan. Begitulah pada tahap tahap seterusnya. Ringkasnya kita sebagai ibubapa harus mengetahui dan peka terhadap tahap perkembangan anak-anak kita. Namun begitu, tidak semua anak-anak itu akan mengikut 'pattern' yang sama; kita seharusnya pandai menilik atau mengetahui kecenderungan anak-anak kita. Wallahu'alam.

Anak sulung saya (perempuan) berumur sepuluh tahun sekarang ini. Beliau mula memasuki 'alam dewasa' pada bulan Jun lepas. Daripada tuturkata dan gerakbicara beliau, beliau gembira dengan perubahan/perkembangan ini. Bayank perkara-perkara yang perlu beliau ketahui dan pelajari. Jadi sudah semestilah kami ibubapa cuba sebaik mungkin menyampaikan apa yang sepatutnya bagi seseorang wanita (anak dara) - cara-cara pembersihan diri, cara pemakaian, dsb. Namun agak ketara juga berkaitan dengan sikap beliau semenjak dua menjak ini setelah bergelar anak dara. Beliau mula meminati bedak, celak mata, dsb. Buku-buku yang dibeli juga lebih menjurus kepada alam remaja. Selain dirumah, feedbak dari guru sekolah beliau juga menyatakan beliau banyak bertanya mengenai kewanitaan. Saya teringat pesan guru/ustaz saya, pada tahap ini, ibubapa perlu bergaul/berkawan dengan anak-anak kerana banyak perkara yang mereka ingin tahu terutama ketika baru menempoh alam remaja ini. Jika kita masih lagi menganggap beliau sebagai anak-anak kecil yang perlu hanya mendengar dan mengikut 'arahan/leteran' kita, kita mungkin membuat kesilapan. Anal-anak remaja ini mungkin akan bertanya atau cuba mencari jawapan dari sumber-sumber lain; yang dibimbangi dari sumber-sumber yang tidak betul atau penyampaian dan pemahaman yang salah. Mungkin apa yang disampaikan itu betul tapi anak-anak kita yang salah memahami atau mentafsirkannya.

Alhamdulillah, anak saya ini belajar disekolah ugama persendirian; suasana pembelajaran dan kehidupan juga agak terkawal. Guru-guru serta masyarakat masih lagi peduli hal murid-murid serta anak-anak jiran tetetangga. Ringkasnya, kami masih mengamalkan tatacara kehidupan 'masyarkat melayu kampung'. Jiran-jiran semestinya kenal antara satu sama lain dan tegur menegur masih diamalkan.