Sunday, June 20, 2010

Macam-macam 'Blues'

Salam kembali. Hari ini tanggal 21 June 2010 memecahkan bermacam-macam 'blues'. Mau tidaknya, selepas seminggu bercuti di kampung sempena anak-anak cuti sekolah, tugasanku juga turut sama bercuti (walaupun semasa pulang ke kampung tempohari sarat menggalas beg & lap-top kononnya nak pulun di kampung!). Hari ini merupakan hari pertama sekolah. Anak-anak juga 'liat' untuk bangkit awal terutama sikembar tu, tambahan pula mereka tidur lewat malam tadi, jam 1 pagi kata isteriku. Namun, Alhamdulillah, semua selamat ke sekolah dengan bersemangat. Doaku semoga anak-anak ini dapat belajar dan berjaya menjadi hamba Allah dan umat Nabi Muhammad yang sebail-baiknya, InsyaAllah.

Menyentuk tentang masa depan anak-anak, berita utama di dalam The Star hari ini memuatkan cadangan Timb. Perdana Menteri untuk memansuhkan PMR dan UPSR dan hanya kekalkan SPM sahaja. Radio IKIM juga mengutarkan tajuk yang sama untuk dibahaskan oleh para pendengar. Jika ikut pendapatku, ianya wajar dimansuhkan tetapi pengisiannya perlulah diperkemaskan. Alhamdulillah, sekolah ditempat anak-anakku belajar sekarang ini (JISADANI) memang ke arah itu. Terima kasih yang tak terhingga kepada Mudir Pak Sheikh dan para-para ahli fikirnya kerana menubuhkan JISADANI.

Mengimbas kembali beberapa kenangan semasa pulang kekampung minggu lepas. Semenjak 1-2 tahun lepas, aku biasanya akan berangkat pulang paling awal jam 3. 00 pagi atau selewat-lewatnya 7 pagi. Tapi pada kali ini, aku bertolak awal kira-kira jam 11.30 malam. Jangkaku, jika mengantuk, aku akan tidur di tepi jalan atau restoran kerana pastinya ramai orang akan 'berjaga' kerana menonton bola piala dunia. ALhamdulillah, aku tidak pun mengantuk sangat atau berhenti lama untuk tidur, perjalanan diteruskan dan sempat sembahyang subuh di Kuala Krai dan makan pagi dirumah. Kepulangan kami mengejutkan dan menggembirakan ibuku!

Bila terkenangkan ibu yang tinggal 'bersendirian' di kampung, hatiku jadi sebak. Doa dan harapanku semoga Allah sentiasa memelihara beliau di dalam iman hingga keakhir hayat. Mudah-mudahan juga adik-beradikku, ipar-duai dan anak-anak buahku akan sentiasa menemani beliau.

Di Pasir Mas, kampung isteriku pula, aku sempat berbual dengan seorang warga emas, Mak Da, yang 'bercuti' dari Pondok Lubuk Tapah. Apa yang mengejutkan aku adalah apabila dimaklumkan bahawa suasana pengajian ilmu di Pondok Allahyarham Tuan Guru Tok Haji Lah amat berkurangan dan lenggang sekarang ini. Sangkaku, Pondok Lubuk Tapah dan Pondok Pasir Tumbuh adalah lambang pengajian pondok di Kelantan. Itulah sebabnya Mak Da terpaksa bercuti bila cuti sekolah kerana ahli pengajian tidak ramai dan Tuan-tuan Guru semacam tak ada 'mood' untuk mengajar. Pada kali ini aku tidak sempat untuk menziarahi pondok-pondok ini. InsyaAllah, pada lain kali aku berazam untuk meninjau pondok Lubuk Tapah & juga Pondok Pasir Tumbuh. Apa yang menjadi kerisauanku adalah apabila ulama-ulama atau guru-guri tua ini telah tiada/meninggal dunia, institusi pondok ini akan hilang dan pupus. Penghayatan dan pengamalan ahli sunnah wal-jamaah lama kelamaan akan hilang dan lenyap. Hatta, sekarang pun, pelbagai fahaman baru telah menyerang akidah dan pegangan serta amalan umat Islam di negara ini.